suria

Kerajaan Akan Isytihar Kecemasan Jika Suhu Melebihi 40 Darjah Celsius

Cuaca panas luar biasa ekoran Fenomena El Nino yang melanda negara ini, menyebabkan air sungai mengering sekaligus memudahkan penduduk setempat menangkap pelbagai ikan sungai. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengisytiharkan "kecemasan gelombang haba" sekiranya suhu melebihi 40 darjah celsius selama atau lebih tujuh hari.

Langkah itu merupakan antara pelan tindakan bagi menangani gelombang haba.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekolah akan diarahkan tutup di kawasan yang dilanda suhu mencecah atau melebihi 37 darjah Celsius selama lebih tiga hari.

"Amaran pertama akan dikeluarkan sekiranya suhu mencecah atau melebihi 37 darjah celsius selama 72 jam. Apabila amaran pertama dikeluarkan, kita akan mengarahkan semua aktiviti luar di sekolah termasuk aktiviti sukan ditangguhkan.

"Jika suhu mencecah 37 darjah celsius selama lebih 72 jam, kita akan mengeluarkan amaran kedua. Sekolah di kawasan terjejas akan diarahkan tutup," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelan tindakan kecemasan.

"Jika paras suhu melebihi 40 darjah celsius selama atau lebih tujuh hari, Nadma akan mengisytiharkan "kecemasan gelombang haba" dan akan mengumumkan langkah kecemasan yang perlu diambil," kata Wan Junaidi.

Artikel Lain