suria

Kastam Jangka Dapat Kutip Cukai RM52 Bilion Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia yakin dapat mengutip cukai sebanyak RM52 bilion tahun ini sebagaimana disasarkan oleh kerajaan dalam Bajet 2016.

Ketua Pengarah, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, jabatan itu sedang mengambil inisiatif untuk menambah baik sistem kutipan bagi kemudahan pembayar cukai.

Daripada jumlah itu, RM39 bilion dijangka diperoleh daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST), katanya pada sidang akhbar di Persidangan WCO Ketua Pentadbiran Kastam Rantau Asia dan Pasifik (RHCA) ke-17 di sini, Rabu.

"Kita juga akan memastikan pematuhan oleh peniaga dan pembayar cukai dipertingkat melalui penguatkuasaan. 

"Dalam situasi sekarang, kita harus meningkatkan usaha dan tanggungjawab kita dalam memastikan sasaran kita tercapai. Unjuran ini dibuat berdasarkan perkiraan yang telah kita buat, buka saja-saja meletakkan sasaran itu," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Khazali berharap forum itu akan menjadi platform yang sesuai untuk pentadbiran kastam belajar mengenai teknologi semasa dan masa depan yang ada di pasaran yang boleh diguna untuk menghasilkan perkhidmatan kastam yang berkesan dan cekap.

"Persidangan ini akan menyaksikan pemeteraian Pengaturan Pengiktirafan Bersama (PPB) mengenai pengendali ekonomi sah di antara Malaysia dan Hong Kong serta pemeteraian PPB di antara Malaysia dan Korea," katanya.

Khazali berkata, ini adalah Persidangan RHCA kedua dihoskan Malaysia sebagai naib pengerusi untuk rantau Asia-Pasifik selepas Persidangan RHCA Ke-16 di Melbourne, Australia tahun lepas.

"Forum bertemakan 'Penggunaan teknologi canggih untuk operasi kastam yang berkesan dan cekap' itu bertujuan mengkaji cabaran yang dihadapi kastam dan bagaimana teknologi boleh diguna untuk menangani cabaran terbabit," katanya.-- Bernama

Kastam, cukai, Khazali Ahmad, GST

Artikel Lain