suria

Sarawak Mansuhkan Cukai Tanah

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pemansuhan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman di Sarawak berkuatkuasa Selasa.

"Merujuk kepada pengumuman yang dibuat pada 26 Feb mengenai pemansuhan cukai tanah, saya ingin menyatakan pemansuhan ini tertakluk hanya kepada pekebun kecil dengan tanah pertanian yang kurang daripada 100 ekar (40 hektar) dan tanah kediaman.

"Berkuatkuasa daripada 15 Mac (hari ini) cukai tanah tidak lagi dikenakan ke atas tanah ini. Semua tunggakan dan surcaj akan dikecualikan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Adenan berkata keputusan memansuhkan cukai tanah ini akan melibatkan 360,422 pemilik dan cukai berjumlah RM8.58 juta atau 19 peratus daripada keseluruhan cukai tanah.

"Tanah pertanian pekebun kecil (kurang daripada 100 ekar) didaftarkan di bawah 173,752 pemilik dengan cukai sebanyak RM3.62 juta atau lapan peratus daripada jumlah cukai tanah manakala 186,670 pemilik tanah kediaman dengan cukai tanah sebanyak RM4.96 juta atau 11 peratus daripada jumlah cukai tanah," katanya.

Adenan Satem

Artikel Lain