Kerajaan Tidak Cadang Bubar 1MDB - Kementerian Kewangan - Semasa | mStar

Kerajaan Tidak Cadang Bubar 1MDB - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membubarkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) buat masa ini, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, 1MDB merupakan projek jangka panjang untuk mengambil peluang ke atas pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi serta berinovasi.

"Antara pelaburan yang dijalankan 1MDB adalah Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan sektor tenaga," menurut Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada Selasa.

Dr Ko bertanya mengenai pencapaian 1MDB setakat ini untuk memacu Malaysia ke arah 2020 sejak ditubuhkan pada 2009. Beliau juga ingin tahu adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan kesemua keputusan dan transaksi penting serta sama ada 1MDB akan dibubarkan sebelum 2020.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis itu menyatakan TRX telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai projek permulaan dalam Program Transformasi Ekonomi bagi mencapai lebih dua kali ganda pendapatan per kapita menjelang 2020.

"Projek yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM40 bilion dan mempunyai jangka masa pembinaan selama 15 tahun itu mempunyai visi membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan TRX sebuah bandar raya global," menurut kenyataan itu.

Mengenai Bandar Malaysia pula, Kementerian Kewangan berkata, projek itu merupakan projek pembangunan semula lapangan terbang lama Sungai Besi di atas tanah seluas 196.7 hektar yang akan dilaksanakan sebaik sahaja proses pemindahan fasiliti Pangkalan Udara Kuala Lumpur selesai dilaksanakan.

"Sebahagian besar daripada kawasan projek itu turut diperuntukkan untuk pembangunan Rumah Mampu Milik," menurut jawapan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, sektor tenaga pula merupakan satu daripada sektor fokus 1MDB menerusi anak syarikatnya Edra Energy. 1MDB merupakan pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara dengan portfolio loji janakuasa dan penyahgaraman di lima negara.

Menurut jawapan itu, walaupun 1MDB berhadapan dengan isu ketidakserasian antara aliran masuk daripada operasi perniagaan serta penjualan aset dengan aliran keluar pembayaran keluar faedah hutang dan prinsipal, namun kerajaan mengambil pelbagai langkah dengan menjalankan kajian strategik serta melaksanakan Pelan Rasionalisasi.

"Antara hasil pelaksanaan Pelan Rasionalisasi adalah pembayaran semula hutang sebanyak AS$975 juta dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) di mana pelaksanaan kertas terma terikat dengan IPIC dijangka mengurangkan hutang syarikat sehingga RM16 bilion dan lebih RM1 bilion tanah di TRX telah dijual," menurut jawapan itu. - Bernama

Kementerian Kewangan , 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain

Harimau Muda pulang awal