suria

Kerugian Edge RM10 Juta Penyumbang Penutupan TMI

Ho Kay Tat.

PETALING JAYA: The Edge Media Group (TEMG) mengesahkan portal berita The Malaysian Insider (TMI) akan menghentikan operasinya.

"Walaupun TMI adalah salah satu daripada tiga portal berita mencatatkan jumlah trafik tertinggi di Malaysia, ia tidak menerima sokongan komersial yang cukup untuk memastikan ia berjalan lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Penerbit The Edge Communications Sdn Bhd, Ho Kay Tat (gambar ) dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Dalam tempoh 20 bulan sejak memperoleh TMI pada Jun 2014, TEMG mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dan kita tidak lagi dalam kedudukan untuk memastikan ia berterusan," katanya.

Selepas mengumumkan mengenai TEMG akan melupuskan TMI sebagai sebahagian daripada penstrukturan semulanya, TEMG didatangi tiga pihak luar daripada mereka yang mempunyai perniagaan media sedia ada dan juga tawaran untuk pembelian oleh pengurusan (MBO).

"Malangnya, kami tidak dapat mencapai persetujuan dengan mana-mana pihak luar termasuk MBO," katanya.

"Kami percaya masalah TMI dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini telah membuatkan ia lebih sukar bagi jualan dimuktamadkan walaupun perbincangan telah bermula sebelum itu," tambahnya.

The Malaysian Insider, TMI

Artikel Lain