suria

Keluar Deposit Haji: Pendeposit Mungkin Tunggu 70 Tahun Tunai Haji

KUALA LUMPUR: Pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka akibat percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini, akan secara automatik keluar daripada giliran menunaikan haji, jika mereka turut mengeluarkan deposit daftar haji.

Pendeposit perlu meletakkan deposit RM1,300 daripada wang simpanan untuk pendaftaran haji dan diberikan tarikh peruntukan haji mengikut giliran.

Mereka juga terjejas akan ruang mendapat dividen dan bonus jika mengeluarkan semua wang simpanan mereka, katanya.

"Bila mereka keluarkan deposit, dia keluarkan dirinya daripada giliran menunaikan haji...bila mereka tarik diri dan kemudian daftar semula, dia terpaksa menunggu pula mungkin lebih daripada 70 tahun," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin).

"Ada 8.8 juta pendeposit yang hendak menunaikan haji dan menyimpan dengan TH kerana mereka lebih selesa akan dividen simpanan yang tinggi serta sistem yang mematuhi syariah," katan Ahmad. 

Beliau membangkitkan kesan yang diterima TH susulan surat yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada organisasi itu, yang diputar-belit sesetengah pihak. 

Jamil Khir berkata, penyebaran surat dari BNM melalui media telah menyebabkan TH dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan rambang, analisis 'separuh masak' dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit TH menjadi mangsa. 

"Situasi ini juga menyebabkan imej dan reputasi TH sebagai pengurus haji dan dana Islam yang cemerlang di Malaysia telah tercemar akibat daripada tuduhan-tuduhan tidak berasas ini," katanya. 

Terdahulu menjawab soalan asal Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Jamil Khir menegaskan bahawa melalui surat maklum balas BNM bertarikh 26 Januari lepas, bank pusat itu berpuas hati bahawa TH secara proaktif melalui inisiatifnya telah mengambil langkah sewajarnya untuk memperkukuhkan pengurusan risiko dan kedudukan kewangan TH.

Katanya, kenyataan BNM bahawa nilai aset TH hanya cukup untuk membayar 98 sen bagi setiap ringgit nilai liabiliti pula hanya merujuk kepada sebahagian aset TH iaitu Aset Yang Tersedia Jual. 

"Namun begitu TH masih mempunyai aset-aset tidak dinilaisamakan melalui aset dalam anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat kerjasama dan aset-aset hartanah dengan nilai keseluruhan aset-aset TH yang dinilaisamakan adalah positif dan melebihi liabiliti TH pada Disember 2015," kata Jamil Khir.

Beliau berkata, nilai portfolio aset boleh direalisasi TH pada 31 Dis 2015 adalah sebanyak RM60 bilion, melebihi liabiliti dan dana pendeposit iaitu sebanyak RM59.3 bilion.

Katanya, kedudukan kewangan TH bagi tahun 2015 adalah kukuh walaupun mendapat teguran BNM dan tertinggi sejak ditubuhkan dan pembayaran bonus bagi tahun 2015 lebih tinggi dariapda tahun-tahun antara 1994 hingga 1999.

"Purata pembayaran bonus antara tahun 1994 hingga 1999 adalah di bawah RM550 juta, manakala pembayaran bonus untuk 2015 berjumlah RM3.2 bilion," katanya. - Bernama

Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Lain