suria

Cuaca Panas Untuk Ke Sekolah

- Gambar hiasan
KLANG: Kementerian akan membuat keputusan sama ada sekolah perlu ditutup buat sementara waktu disebabkan cuaca panas terik, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata pihak berkuasa berkaitan sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan membuat pertimbangan jika cuaca menjadi terlalu panas apabila sekolah dibuka semula.

"Oleh kerana sekarang adalah musim cuti sekolah, kanak-kanak boleh berada di rumah dan mengurangkan aktiviti luar sehingga sekolah dibuka semula minggu depan.

"Bagaimanapun, kami akan mempertimbangkan untuk menutup sekolah jika keadaan memerlukan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program tarian belia di sini, Ahad.


Kamalanathan ditanya jika sekolah-sekolah awam akan dinasihatkan tutup berikutan cuaca panas semasa dan ramalan panas terik pada 20 Mac, sehari sebelum sekolah dibuka semula.

Beliau berkata, pada masa ini, pekeliling standard kementerian membenarkan pentadbir sekolah untuk membuat keputusan berdasarkan prosedur operasi standard sedia ada.

"Pekeliling itu memberi kuasa kepada pengetua dan guru besar bahawa di bawah keadaan itu, apabila cuaca terlalu panas, mereka boleh mengambil tindakan seperti menghentikan aktiviti pembelajaran di luar kelas.

"Memandangkan cuaca yang teruk sekarang, kami akan memastikan maklumat berkaitan dikemaskini dan dihantar kepada semua Pengarah Jabatan Pendidikan negeri dalam tempoh dua hari ini.

"Mereka kemudian boleh memberikan nasihat semua pengetua dan guru besar untuk mengelakkan pelajar daripada terlibat dalam aktiviti luar di sekolah jika cuaca terlalu panas apabila sekolah dibuka semula nanti," katanya, sambil menambah sekolah-sekolah di negara-negara lain juga ditutup semasa apabila cuaca panas terik.

Kamalanathan berkata kementerian juga akan berpandukan standard yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar sama ada untuk menutup sekolah atau tidak apabila cuaca terlalu panas.

"Mereka mempunyai kepakaran, kita tiada.

"Apabila mendapat maklumat yang diperlukan daripada mereka, kita akan membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya," katanya.

Kamalanathan juga berkata mesyuarat dengan semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan sedang dijalankan untuk membincangkan isu-isu berkaitan sekolah dan kebajikan pelajar.

Artikel Lain