suria

Benggali Muslim Menyamar Jadi Rohingya

ALOR SETAR: Lebih 3,000 etnik Benggali Muslim dari Bangladesh 'menyamar' menjadi pelarian Rohingya bagi mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), sejak 10 tahun lalu.

Menurut Pengerusi Rohingya Society in Malaysia (RSM) Kedah Mohd Noor Abu Bakar, etnik berkenaan yang tinggal di wilayah kejiranan Chittagong, di Bangladesh, yang bersempadan dengan Myanmar, menggunakan ciri-ciri rupa paras dan warna kulit serta bahasa yang hampir sama dengan etnik Rohingya bagi mendapatkan kad UNCHR.

Melalui cara itu, etnik Benggali Muslim ini didakwa berlatih menggunakan loghat Rohingya dan bersiap sedia dengan soalan-soalan yang akan diajukan penemuduga UNHCR, bagi mendapatkan kad UNHCR tersebut.

Malah mereka juga mendakwa berasal dari Maungdaw, sebuah kawasan di negeri Rakhine, Myanmar yang banyak diduduki oleh etnik Rohingya, katanya.

Katanya kad UNHCR tersebut 'laku' bagi tujuan mencari pekerjaan di Malaysia, yang dianggap mereka sebagai lubuk emas kerana kestabilan dasar dan peluang pekerjaan yang luas.

"Etnik ini (Benggali Muslim) yang duduk bersempadan dengan Myanmar, masuk ke negeri Rakhine dan kemudian menyertai etnik Rohingya untuk menaiki bot ke Malaysia. Sedangkan mereka bukanlah pelarian," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata jika benar dakwaan tersebut, Persatuan Rohingya perlu mengambil langkah segera dengan membantu UNCHR mengenal pasti etnik Rohingya yang sebenarnya.

"Mereka (Persatuan Rohingya) perlu duduk berbincang dengan UNCHR dan maklumkan perkara ini kerana mereka lebih mengenali etnik Rohingya," katanya.

Ini kerana, katanya, dasar Malaysia menerima pelarian bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main, sebaliknya ia atas dasar perikemanusiaan.

"Jika tidak Malaysia tidak patut buka pintu kepada pelarian-pelarian yang mengambil kesempatan ini. Kita tidak mahu mereka mendatangkan masalah kepada negara," katanya. 

Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain