suria

SPRM Nafi CEO Bank Ditahan Di Sabah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menafikan bahawa pihaknya telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bank di negeri ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM2 juta.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, bagaimanapun mengesahkan CEO bank terbabit dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kes itu di pejabat SPRM di sini.

"CEO bank itu tidak ditangkap dan tidak ditahan reman. Sebaliknya, SPRM menahan tiga orang iaitu dua pegawai bank dan seorang orang tengah yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

"SPRM memanggil CEO bank tersebut untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat mengenai kes rasuah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang CEO  bank antara tiga ditahan SPRM berhubung kes rasuah tersebut.

Pada Khamis, dilaporkan seorang pegawai bank berumur 49 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes rasuah itu.

Sebelum itu, seorang lagi pegawai bank berumur 31 tahun dan seorang orang awam berumur 41 tahun turut direman tujuh hari.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan di pejabat SPRM itu direman bagi membantu siasatan kes rasuah daripada syarikat-syarikat untuk meluluskan permohonan pinjaman beberapa syarikat perniagaan pada tahun 2013. - BERNAMA

SPRM, CEO Bank, Sabah

Artikel Lain