suria

Semakin Tua, Semakin Diabai

PETALING JAYA: Apabila ditinggalkan di stesen bas oleh anaknya, John (bukan nama sebenar) menunggu anaknya kembali dengan penuh sabar.

Lima jam kemudian, dia masih menunggu. Orang ramai yang menyedari kehadirannya di situ menyedari terus menghubungi polis.

Lelaki berusia 72 tahun itu menghidap demensia dan dihantar ke hospital. Pekerja sosial perubatan berjaya membuatkannya mengingati semula nombor telefon anaknya.

Apabila mereka menghubungi anak John, dia tidak mahu membawa ayah pulang.

Orang-orang seperti John terdedah kepada tindakan penderaan dan pengabaian, namun tidak layak untuk mendapatkan bantuan perlindungan kerajaan yang disediakan untuk warga tua kerana dia masih mempunyai keluarga.

John adalah salah seorang daripada ramai warga emas di Malaysia yang berdepan tindakan penderaan dan pengabaian.


Menurut kajian, seorang daripada 10 warga emas bandar dari Malaysia telah didera, dengan penderaan berkaitan kewangan adalah yang paling biasa.

Kaji selidik oleh sepasukan penyelidik dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan di bawah Fakulti Perubatan Universiti Malaya menunjukkan bahawa penderaan psikologi terhadap warga tua adalah yang paling biasa, diikuti dengan penderaan fizikal.

"Satu kajian rintis telah dijalankan di kalangan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur pada tahun 2012 melibatkan 291 individu yang berusia lebih dari 60. Terdapat warga tua yang tinggal di rumah pangsa kos rendah dengan subsidi kerajaan. Dari jumlah itu, 9.6 peratus berkata mereka telah mengalami satu atau lebih bentuk penderaan dalam tempoh 12 bulan terakhir kaji selidik itu dilakukan," kata Dr Noran Naqiah Hairi.

Dr Noran mengetuai kaji selidik 'Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative' (Peace) dengan rakan sekerja beliau Dr Clare Choo.

Pasukan itu juga mendapati bahawa seorang dalam 20 orang tua di luar bandar telah mengalami penderaan dan telah disalahguna berdasarkan kaji selidik yang dilakukan di kalangan 2,000 responden di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Penderaan yang paling utama dilaporkan di kalangan orang-orang tua luar bandar adalah penderaan psikologi ekoran masalah kewangan.

Anita, 68, (bukan nama sebenar) adalah seorang mangsa penderaan kewangan. Disebabkan mempunyai artritis, sukar baginya untuk pergi ke bank. Anak lelakinya telah memujuk ibunya yang merupakan seorang kerani bersara untuk memberikan hak  mengendalikan kewangannya.

Tidak lama selepas itu, dia mahu ibunya menurunkan tandatangan pemilikan rumah kepadanya.

"Saya tidak mahu, tetapi saya telah dipaksa untuk menandatangani hak pemilikan rumah saya. Dia asyik menuduh saya tidak percayakannya.

"Mula-mula segala-galanya berjalan dengan baik. Tetapi kemudian dia mula melabur wang saya dalam semua jenis usahaniaga. Saya tak mampu nak cakap apa-apa dengan wang saya yang digunakan. Apabila saya bertanya, dia tidak suka.

"Tetapi saya bimbang, apa akan berlaku bila duit saya habis nanti," keluh Anita, yang tinggal bersama anaknya di Petaling Jaya.

Namun, dia tidak akan melaporkan tindakan anaknya itu kerana penderaan terhadap golongan tua bukanlah satu topik yang dekat dengan rakyat Malaysia dan dibincangkan secara terbuka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun mengakui bahawa angka laporan tidak memberikan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

"Hanya beberapa kes yang kami ada. Mungkin ada lagi yang kita tidak tahu, "katanya.

Kebanyakan kes penyalahgunaan dan penderaan orang tua tidak dilaporkan kerana ramai melihatnya sebagai 'masalah keluarga' yang boleh ditangani secara tertutup.

Hanya 23 kes pengabaian dan penyalahgunaan orang tua dilaporkan dalam tempoh tiga tahun yang lalu, mengikut statistik daripada kementerian.

Kajian itu, bagaimanapun, menunjukkan ia adalah jauh lebih meluas.

"Kajian Peace adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia menguatkan kadar kelaziman pengabaian  dan penyalahgunaan orang tua di negara-negara Asia lain yang terdiri dari 14 ke 27.5 peratus," tambah Dr Noran.

Artikel Lain