suria

Lelaki Maut Dihempap Kereta Perisai Beroda

Kereta kebal DRB-Hicom terbalik menyebabkan seorang jurulatih memandu Abdul Razak Jabbar, 46, maut dihempap kereta perisai itu dalam kemalangan di trek pandu uji kilang syarikat itu, Khamis. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Seorang pekerja DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) maut dihempap kenderaan perisai beroda ketika sesi kursus latihan pemanduan anggota tentera mengendalikan kenderaan berkenaan di trek pandu uji kilang syarikat itu di Pekan, Khamis.

Difahamkan mangsa, Abdul Razak Jabbar, 45, yang berasal dari Kluang, Johor dan merupakan jurulatih memandu kenderaan berkenaan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Mangsa dikatakan pesara tentera di 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanise Kem Batu 10 di sini dan memiliki kepakaran dalam mengendalikan kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata ketika kejadian pada 12.25 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang mengajar seorang pelatih Mohd Amirnuddin Osman, 23, memandu kenderaan berkenaan di litar pandu uji itu.

"Ketika Mohd Amirnuddin sedang memandu kereta perisai tersebut menuruni laluan bukit di litar itu, tiba-tiba ia hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada kereta perisai ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Amran berkata bagaimanapun Mohd Amirnuddin hanya mengalami kecedaran ringan di tangan dan mendapat rawatan di Hospital Pekan.

Beliau berkata mayat Abdul Razak dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya di Pahang Tua di sini.

Sementara itu, DEFTECH dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa terlibat dan berasa kesal dengan kejadian berkenaan serta akan melakukan apa sahaja termampu membantu keluarga berkenaan menghadapi saat sukar itu.

Kenyataan itu menyebut satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian berlaku dan pihak pengurusan DEFTECH sedang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami akan memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus diambil bagi memastikan keselamatan di kemudahan kami diletakkan pada keutamaan yang tertinggi dalam organisasi kami," menurut kenyataan itu.

DEFTECH, kereta perisai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain