suria

Mengapa Takut Dengan Kit Siang, Soal Sanusi

Sanusi (kanan) ketika menandatangani Deklarasi Rakyat bersama Dr Mahathir (tengah), Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: Pemimpin veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata beliau tidak fikir orang kuat DAP, Lim Kit Siang, seorang pemimpin yang hebat dan bingung mengapa ramai terutama mereka di dalam Umno takut dengan kehadirannya.

"Saya tidak fikir beliau begitu hebat. Saya tidak pernah melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang hebat. Jadi mengapa satu parti Melayu ini begitu takut dengan lelaki Cina ini?," katanya dalam satu video temu bual yang dimuat naik dalam blog Din Turtle pada Khamis.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata penglibatan Lim dalam pengisytiharan Deklarasi Rakyat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya digunakan untuk mencetuskan ketakutan dan kebencian di kalangan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata Lim yang bersama pembangkang sejak beberapa dekad tidak pernah mencadangkan sebarang dasar baharu yang boleh membebankan rakyat.

"Beliau tidak pernah mencadangkan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Beliau tidak pernah mencadangkan di Parlimen bahawa kita tidak perlu membayar pinjaman.

"Tidak pernah sekali beliau memberitahu kita untuk melakukan sesuatu yang tidak masuk akal," kata Sanusi.

Sanusi menegaskan bahawa deklarasi itu yang ditandatangani beberapa pemimpin Umno, pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil bukan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kami hanya meminta perdana menteri untuk meletak jawatan. Kerajaan tidak akan digulingkan kerana ia dipimpin parti pemerintah," katanya.

Beliau berkata Umno mempunyai ramai pemimpin berkebolehan lain yang boleh mengambil alih tempatnya.

"Kami tidak mahu Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya tetapi akan kalah jika beliau tidak meletak jawatan," katanya.

Sanusi berkata beliau tidak takut jika keahlian partinya dibatalkan di atas kelantangannya dalam bersuara.

Sanusi Junid, deklarasi rakyat

Artikel Lain