suria

Bilangan Doktor Pakar Ditambah 1,000 Setiap Tahun - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan menambah bilangan doktor pakar daripada 450 orang kepada 1,000 setiap tahun bagi mengatasi masalah kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata masalah itu perlu ditangani segera kerana terdapat kekurangan dalam bilangan doktor pakar di semua 142 hospital di bandar kecil, di samping memenuhi permintaan rakyat.

"Jumlah ini tidak mencukupi. Contohnya, dalam bidang pembedahan neuro, Malaysia hanya mempunyai 47 pakar di hospital bandar seperti Sungai Buloh, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Kuching dan Sibu.

"Ini bermaksud hospital-hospital lain di bandar kecil yang memerlukan kepakaran bidang ini, dan yang lain. Saya berharap peningkatan 1,000 doktor pakar akan mengisi keperluan doktor dalam negara menjelang 2018," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.

Menurutnya, pada masa ini, 819 doktor terpilih untuk mengikuti program sarjana di tujuh universiti tempatan, yang menawarkan 23 bidang pakar.

Selain itu, Dr Subramaniam berkata bermula pada 2014, pihaknya telah  memantapkan pelaksanaan 'Parallel Pathway' untuk dijadikan program latihan kepakaran yang lebih berstruktur.

Dalam perkembangan lain, beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat untuk memastikan kawasan persekitaran masing-masing sentiasa berada dalam keadaan bersih bagi mengelakkan pembiakan aedes.

"Jumlah 2,007 kes denggi minggu ini adalah satu petanda baik sekiranya ia kekal walapun adanya ramalan jumlah kes akan meningkat berikutan fenomena El-Nino," katanya.

Dr Subramaniam berkata telur nyamuk aedes boleh hidup di tempat kering selama enam bulan dan hanya memerlukan setitik air untuk menetas dan menjadi larva. 

- BERNAMA
Dr S.Subramaniam, doktor pakar

Artikel Lain