suria

Kabinet Akan Kaji Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Baharu Parlimen - Azalina

Azalina Othman.

KUALA LUMPUR: Kabinet memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji penubuhan jawatankuasa baharu pilihan khas parlimen yang dicadangkan Jawatankuasa Dewan Rakyat mengenai Transformasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.  

Beliau berkata, kajian terperinci perlu dilakukan memandangkan sesetengah jawatankuasa yang dicadangkan itu bersifat sensitif.

"Sebagai contoh, mereka (Parlimen) mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa mengenai keselamatan; keselamatan adalah isu sensitif...sama seperti hal ehwal luar negara, ia juga amat sensitif. Jawatankuasa tertentu mungkin 'OK', tapi sesetengahnya adalah sensitif, jadi Kabinet perlu menelitinya lagi," kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan pada satu sidang akhbar pada Rabu bahawa Parlimen bercadang menubuhkan jawatankuasa pilihan khas, antaranya Jawatankuasa Pindaan Undang-undang, Jawatankuasa Bajet, Jawatankuasa Pengangkutan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara.

Ketika ini, Parlimen mempunyai lima jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Mesyuarat dan Jawatankuasa Dewan.  

Cadangan penubuhan jawatankuasa baharu adalah antara empat pindaan utama yang dicadangkan bagi Arahan Tetap Dewan Rakyat yang dijadual dibentangkan pada persidangan semasa Dewan Rakyat, sejajar dengan inisiatif transformasi Parlimen. 

Pindaan yang dicadangkan termasuk Waktu Khas Bertanya Menteri pada Selasa dan Khamis untuk memberi peluang kepada Anggota Parlimen bertanya soalan mengenai isu semasa.

Azalina berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membentangkan cadangan pindaan itu dalam bentuk laporan sebelum ia dibahaskan Anggota Parlimen.

Sambil menyebut Waktu Khas Bertanya Menteri sebagai contoh, beliau berkata, inisiatif itu akan memberi kesan positif kerana lebih banyak menteri akan hadir di Parlimen bagi menjawab soalan dan tidak hanya menghantar timbalan untuk mewakili mereka. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain