suria

Pembantu Veterinar Didenda RM20,000 Kerana Terima Wang Program Pintaf

JOHOR BARU: Seorang Pembantu Veterinar Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulai dijatuhi hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap tuduhan menerima wang berjumlah RM10,800 berhubung program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (Pintaf), dua tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut mengarahkan tertuduh, Roslizan Hassan, 45, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Roslizan didakwa menerima wang berkenaan untuk dirinya melalui akaun Maybank isterinya, di Malayan Banking Berhad, Jalan Intan 2/1, Taman Intan, Kluang, antara 9.15 pagi dan 4.30 petang, 13 Januari 2014.

Dia didakwa menerima wang berkenaan daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Gembala Utama Sdn Bhd, Zaiton Ibrahim Mohd Zahir dengan suatu balasan iaitu tidak membekalkan tiga ekor lembu pejantan baka Brahman kepada penternak yang mana diketahui Zaiton Ibrahim mempunyai hubungan melibatkan program Pintaf pada 2013.

Roslizan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Fazlin Hamdan manakala Roslizan tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Roslizan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mahu mengulangi perbuatan terbabit dan perlu menanggung isteri dan empat anak serta ibu yang mengalami sakit buah pinggang.--Bernama

Artikel Lain