suria

Majikan Gaji Pati Terus Ke Mahkamah - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed.

PETALING JAYA: Warga asing yang bekerja di negara ini tanpa permit kerja yang sah akan berdepan dengan pengusiran manakala majikan mereka akan dihadapkan ke mahkamah, yang boleh dikenakan hukuman denda dan penjara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian  selepas mengadakan tinjauan di sebuah pusat membeli-belah di sini, Rabu.

"Mengenai tinjauan, saya mengesan kesalahan pertama semasa berkunjung di sebuah kedai yang pertama di sini, apabila pekerja-pekerjanya dibenarkan untuk bekerja sebagai tukang masak, tetapi bekerja sebagai juruwang dan pelayan.

"Saya bertemu seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi sebaliknya dia bekerja sebagai jurujual," katanya.

Tambah Nur Jazlan, beliau turut menemui seorang warga Pakistan yang memegang visa pelajar tetapi bekerja di medan selera.

"Ia tidak menyalahi undang-undang sekiranya dia bekerja kurang 20 jam seminggu, tetapi saya ragu-ragu dia hanya bekerja separuh masa.

"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mahu melihat semua agensi di bawah kementeriannya bertanggungjawab dengan melakukan operasi penguatkuasaan di seluruh negara," katanya.

Artikel Lain