suria

Jenayah 'Cinta Siber' Membimbangkan

KUALA LUMPUR: Kes jenayah 'cinta siber' membabitkan golongan wanita sebagai mangsa di negara ini, semakin membimbangkan berikutan peningkatan kes itu setiap tahun.

Pegawai penyiasat Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ASP Mohd Syafiq Jinuin Abdullah berkata pada tahun lepas sahaja, sebanyak 1,646 kes jenayah siber dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM56 juta.

"Pada 2014, sebanyak 1,015 kes sama dilaporkan berlaku dengan nilai kerugian RM52 juta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 di sini.

Mohd Syafiq berkata modus operandi jenayah itu ialah menyasarkan wanita berumur antara 35 dan 45 tahun, khususnya golongan ibu tunggal yang kaya.

"Majoriti suspek warga Afrika...suspek akan memulakan perkenalan dengan menabur janji manis menerusi laman sosial seperti facebook, e-mel dan skype.

"Setelah berkenalan dan serasi dengan mangsa, suspek bertindak menipu mangsa," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 200 wanita turut diberi pendedahan mengenai keselamatan dan demonstrasi mempertahankan diri.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din.

Sementara itu, Mohd Zani berkata polis sedang memperketatkan pemeriksaan kemasukan warga asing ke negara ini, bagi merekodkan identiti mereka supaya mudah dikesan apabila terbabit dengan jenayah.

Artikel Lain