suria

Keganasan: Dua Beradik, Remaja Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan lima lelaki termasuk dua beradik dan seorang remaja membela diri terhadap pertuduhan mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Mereka ialah dua peniaga kedai baja, Mohd Anwar Azmi, 34, dan adiknya, Mohd Nurakmal, 31, peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 26, pekerja kedai tayar, Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 23, serta seorang remaja berusia 17 tahun.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan mahkamah mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan itu.

Beliau berkata berdasarkan keterangan mahkamah mendapati adanya saranan meletupkan pusat hiburan dan membuat huru hara di bandar raya ini serta membuat uji kaji bahan letupan di Gunung Nuang dan terdapat bahan yang boleh menghasilkan bahan letupan ditemui daripada tertuduh.

"Oleh itu, saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan kesemua tertuduh diperintah membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka," katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 16 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu dan hujahan pendakwaan dan pembelaan.

Pada 20 Mei 2015, kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Julai 2015, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara 7 malam, 24 April 2015 dan 1 pagi keesokannya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1)Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Peguam Naizatul Zamrina Karizaman mewakili Mohd Anwar dan Mohd Nurakmal, Faizal Rahman mewakili Izwan Shameer, Wong Kar Fai mewakili Muhammad Luqman Hakim manakala peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili remaja 17 tahun itu. - BERNAMA

bela diri, mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain