suria

Ketua Penyiasat MH370 Baca Kenyataan Interim Petang Esok

KUALA LUMPUR: Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370, Datuk Kok Soo Chon akan mengeluarkan kenyataan interim berkaitan operasi pencarian pesawat malang itu pada Selasa, genap dua tahun kehilangan pesawat tersebut.

Malah, kenyataan Koh itu akan disiarkan secara langsung menerusi stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1 dan dimuat naik ke dalam laman web rasmi MH370 (www.mh370.gov.my).

Namun, sumber berkata kenyataan itu tidak menyediakan perkhabaran terbaharu mengenai operasi pencarian atau siasatan berkaitan pesawat tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sekiranya pesawat tersebut tidak ditemui pada Julai ini, satu mesyuarat antara tiga negara membabitkan Malaysia, China dan Australia akan diadakan bagi menentukan tindakan susulan.

"Pendirian kami akan berpandukan pandangan pasukan pakar," katanya ketika ditanya sama ada pencarian pesawat yang hilang itu akan dihentikan sebaik sahaja kawasan pencarian sudah diperiksa.

Operasi pencarian itu menelan belanja hampir AS$130 juta (RM532.4 juta).

Liow berkata walaupun pasukan sudah melakukan pencarian lebih 90,000 kilometer persegi dasar Lautan Hindi namun tiada bukti membawa kepada penemuan pesawat tersebut.

Hanya satu serpihan bangkai pesawat itu ditemui di Pulau Reunion pada tahun lalu.

"Kita sedang menunggu pengesahan dua lagi serpihan yang ditemui baru-baru ini, masing-masing di Mozambique dan Pulau Reunion.

"Komitmen kami kepada keluarga dan rakyat Malaysia tidak akan luntur ketika kami terus melengkapkan pencarian ke kawasan berpotensi tinggi dan mencari jawapan yang kita cari selama ini," kata Liow.

Bagi memperingati ulang tahun kedua kehilangan pesawat itu pada Selasa, Dewan Rakyat akan bertafakur seketika.

Artikel Lain