suria

Kempen Pertahan Najib Dapat Sambutan

PETALING JAYA: Kempen dalam talian bagi mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak semakin mendapat sambutan di kalangan pengguna media sosial selepas Perdana Menteri itu berhadapan serangan daripada pengkritiknya.

Di Facebook, kempen yang dikenali sebagai "#RespectMyPM" meminta penyokong Najib supaya terus menyokong perdana menteri.

Pengendali akaun berkenaan turut memuat naik poster bendera Malaysia dengan tulisan "saya rakyat Malaysia, dan saya... #RespectMyPM".

Selain poster Jalur Gemilang, turut direka ialah poster dengan bendera bagi setiap negeri yang membolehkan penyokong dari negeri-negeri yang berbeza untuk berkongsi poster di laman sosial masing-masing.

Paparan skrin daripada Facebook Pertahan Negara Kita
Berdasarkan laman Facebook 'Pertahan Negara Kita', dinyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat bersatu menyokong Najib.

Salah seorang pengguna Facebook turut mencadangkan supaya penyokong Najib menggantikan gambar profil mereka dengan poster berkenaan sepanjang bulan Mac.

Difahamkan kempen berkenaan telah bermula sejak beberapa minggu lalu namun ia dipergiatkan lagi selepas deklarasi untuk 'Selamatkan Malaysia' ditandatangani pada Jumaat lepas.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai majlis menandatangani dokumen deklarasi itu.

Turut sama ialah Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta ahli politik pembangkang dan juga kumpulan masyarakat sivil.

Tuntutan deklarasi itu termasuk usaha ke arah untuk penyingkiran Najib dan semua pengikut yang menyokongnya.

Najib Tun Razak, #RespectMyPM

Artikel Lain