suria

Deklarasi Rakyat: Tindakan Ke Atas Ahli Umno Terlibat Belum Dibincang

Zahid merangkap Naib Presiden Umno, bersama kepimpinan Umno Perak menyatakan sokongan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Perak di Stadium Indera Mulia, Ahad.

IPOH: Tindakan ke atas anggota Umno yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri belum dibincangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno juga belum berbincang sama ada wujud keperluan untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara itu.

"Kami tidak pernah berbincang mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan serentak Umno cawangan dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri negeri Perak di sini, Ahad.

Pada Jumaat, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 50 orang yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Najib, diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penandatanganan lain termasuk Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Ahmad Zahid turut menyelar dakwaan Mukhriz bahawa deklarasi itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya dibuat hanya untuk menggantikan Najib dengan perdana menteri lain. 

Beliau menegaskan deklarasi itu boleh mengganggu-gugat sesebuah negara memandangkan perdana menteri adalah pemimpin yang dilantik untuk memimpin kerajaan.

"Ini bukan tentang individu tetapi institusi yang menjadi kemuncak kepimpinan yang membentuk kerajaan, dan jika ini diganggu-gugat, maka akan tergugatlah seluruh negara.

"Pemimpin mewakili institusi, maka dalam hal ini semua pihak sama ada dalam kepimpinan sedia ada atau tidak, perlu faham prinsip ini," katanya. 

Ahmad Zahid menegaskan tindakan cuba menyingkirkan Najib menerusi deklarasi tersebut mempunyai hikmah tersendiri, termasuk akan menguatkan lagi sokongan anggota kepada perdana menteri, dan parti keramat orang Melayu itu.

Ahmad Zahid berkata Umno mampu mematahkan gerakan untuk menyingkirkan kepemimpinan sedia ada menerusi deklarasi itu dengan cara menguatkan perpaduan dalam kalangan anggota. 

Beliau berkata pemimpin dan anggota Umno dari peringkat akar umbi perlu bersatu untuk menjaga nama baik parti serta sama-sama menghadapi segala cabaran bukan dengan mencari kesilapan seseorang.

"Jangan ingat kita bersifat maksum atau sempurna, kita ada akhlak dan adab.

Pemimpin dahulu kita hormati, kesilapan-kesilapan lalu kita tutupi sebab kita tidak mahu mengaibkan kerana mengaibkan seseorang itu tidak ada dalam istilah Islam," katanya. 


Artikel Lain