suria

Agong Rasmi Persidangan Parlimen Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat Isnin ini.

Tuanku Abdul Halim, yang akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Disember ini, dijadual menyampaikan titah ucapan diraja bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Titah ucapan baginda itu akan dibahaskan oleh anggota kedua-dua dewan bermula dengan Dewan Rakyat pada Selasa ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 7 April depan, dan Dewan Negara yang turut bersama pada perasmian Parlimen akan bermula pada 18 April dan berakhir pada 4 Mei, iaitu selama 11 hari.

Antara yang menarik perhatian umum pada persidangan kali ini ialah pembentangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan menambah baik akta berkenaan, merangkumi beberapa perkara termasuk yang berkaitan hukuman dan penalti dengan cadangan hukuman denda lebih tinggi dikenakan.

Selain itu, Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 dan 26 pindaan terhadap 17 undang-undang berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang ditandatangani kerajaan pada 4 Februari lalu akan dibentangkan pada mesyuarat kali ini.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah diluluskan oleh kedua-dua dewan pada Disember tahun lepas, dibawa semula untuk dibahas selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu perlu diperhalusi.

Pindaan akta itu bertujuan memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan.

Selain itu, antara rang undang-undang yang akan dibentang pada persidangan kali ini ialah Rang Undang-undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2015 yang ditangguhkan pada persidangan tahun lepas.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong lai berkata satu sesi khas memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang akan turut diadakan, dengan anggota Parlimen akan diberi peluang memberi ucapan bagi memperingati tragedi malang itu.

Pesawat Malaysia Airlines itu bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Selain itu, PAS yang menunggu perkenan daripada Majlis Raja-Raja masih berharap untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata jawatankuasa teknikal bersama negeri dan Persekutuan berhubung pindaan terhadap akta itu masih belum menerima persetujuan daripada sultan-sultan di beberapa negeri.
Agong, Parlimen

Artikel Lain