suria

Wang Kelian: Dua Rakyat Myanmar Tidak Dibenarkan Pulang

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan membenarkan dua rakyat Myanmar yang ditahan berikutan penemuan kubu besar mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia di Perlis tahun lepas, dihantar pulang sehingga kes itu dibawa ke mahkamah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Goh Kok Liang berkata pihaknya akan memohon kepada Jabatan Imigresen supaya tidak mengusir mereka pulang ke Myanmar sehingga mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketika ini, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah, Kelantan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sebelum dikenal pasti terlibat dengan sindiket berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai penjaga kawasan kubur di Wang Kelian itu, malah mereka juga dikenal pasti melalui kawat cam oleh mangsa pemerdagangan itu sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Goh yang mengetuai pasukan khas menyiasat kes itu berkata pasukannya dalam proses mendapatkan waran tangkap enam lagi suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita dipercayai rakyat Myanmar dan warga Thai.

Beliau berkata suspek dikenal pasti November lepas tetapi polis tidak dapat menahan mereka disebabkan prosedur teknikal.

Goh bagaimanapun menafikan keenam-enam mereka ialah dalang sindiket pemerdagangan manusia, sebaliknya mereka cuma anggota bawahan dan dipercayai pembekal makanan atau penjaga.

Pada Mei tahun lepas, polis menemui kubur besar dan rangka manusia, dipercayai etnik Rohingya dan 28 kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Sebanyak 139 kubur dikesan, sesetengah daripadanya ditinggalkan begitu sahaja di kawasan berbukit.

Susulan daripada kes itu, polis Thailand mendakwa 88 orang termasuk seorang jeneral atas tuduhan berhubung kes pemerdagangan manusia, bulan lepas. -Bernama

Artikel Lain