suria

Lagi Universiti Britain Minat Teroka Peluang Di Malaysia

Vicki Treadell (kanan) menandatangani plak sempena pelancaran kampus Universiti Reading cawangan Malaysia di Educity, Iskandar Puteri, Khamis.

ISKANDAR PUTERI: Beberapa lagi universiti Britain berminat membuka kampus mereka di Malaysia kerana tertarik dengan potensi yang terdapat dalam bidang pendidikan tinggi di negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell berkata, ketika ini  lima universiti asing membuka kampus mereka di Malaysia iaitu University of Heriot-Watt (di Putrajaya), University of Nottingham (Semenyih, Selangor) serta University of Newcastle, University of Southampton dan University of Reading, yang semuanya mempunyai kampus di Educity@Iskandar.

"Ini adalah antara beberapa universiti yang merebut pelung untuk menubuhkan kampus mereka (di Malaysia).

"Kami berharap sekurang-kurangnya satu atau dua lagi universiti akan membuka kampus mereka di sini ketika saya bertugas di sini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kampus University of Reading Malaysia (UoRM) di Educity@Iskandar di sini, Khamis.

Treadell berkata pendidikan sentiasa menjadi fokus penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Britain dan akan terus demikian.

"Kami mahu menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan Malaysia.

"Langkah mentransformasikan modal insan merupakan pemacu sebenar pertumbuhan ekonomi, lebih-lebih lagi dalam usaha Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020," katanya.

Profesor Provost UoRM Tony Downes berkata universiti itu, yang kini menawarkan kursus asasi dan peringkat ijazah dalam jurusan perniagaan, kewangan, psikologi, hartanah dan ukur bahan, menyasarkan menerima 400 pelajar menjelang akhir tahun ini.

"Kampus baharunya boleh menampung hingga 3,000 pelajar, yang kami jangka akan menuntut di sini dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang," katanya.

Universiti itu membuat pelaburan awal sebanyak RM80 juta untuk kampusnya di Malaysia.

Downes berkata universiti berkenaan merancang menyediakan kemudahan yang akhirnya mampu menampung hingga 5,000 pelajar.

"Dalam masa lima tahun akan datang, kami menjangka 30 peratus daripada keseluruhan pelajar kami akan terdiri daripada pelajar antarabangsa," katanya.

Semua kursus yang ditawarkan di universiti ini membawa kepada penganugerahan ijazah penuh University of Reading, yang sama dengan standard ketat ditetapkan di United Kingdom, tetapi hanya mengenakan yuran tuisyen berjumlah separuh daripadanya.

Turut hadir pada majlis itu, canselor University of Reading Sir John Madejski dan naib canselornya, Sir David Bell. -- Bernama

Artikel Lain