suria

Gantung Muhyiddin Untuk Kepentingan Pemimpin Tertentu - Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal.

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal 'direhatkan' daripada jawatannya sebagai timbalan presiden Umno mendorong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tampil mempertahankan rakan politik yang berdepan nasib sama apabila digugurkan daripada Kabinet tahun lalu.

Naib Presiden Umno itu mempersoalkan sama ada tindakan menggantung Muhyiddin seperti mana yang dicadangkan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Nazri Aziz akan menguatkan parti dan juga kerajaan.

"Adakah dengan mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin akan menguatkan parti Umno dan juga kerajaan?," soalnya.

Malahan, katanya, tindakan itu bagaikan jaminan bagi menguatkan pengaruh pemimpin tertentu.

Menerusi kenyataannya yang disampaikan menerusi laman Facebooknya pada Khamis, Mohd Shafie berkata, setiap teguran Muhyiddin terhadap kepimpinan parti bertujuan mengukuhkan kedudukan Umno.

"Bila mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerisauan beliau dengan menegur tentang keadaan yang berlaku di dalam kerajaan dan parti bukanlah semata-mata untuk melemahkan pimpinan parti, apatah lagi untuk jatuhkan parti dan kerajaan.

"Tetapi sebaliknya dalam erti kata lain parti dan kerajaan jauh lebih penting daripada pemimpin dan individu tertentu," katanya.

Malah, kata Mohd Shafie, beliau sendiri turut menegur kepimpinan tinggi Umno bukan kerana menyayangi parti itu, malahan pada masa sama lebih menyayangi negara.

"Ya, saya sayangkan parti, tetapi saya sayangkan negara lebih dari segalanya.

"Kedaulatan dan kemakmuran negara adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu ataupun pemimpin tertentu," katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu turut meluahkan kekesalan terhadap sindrom penafian yang wujud di kalangan pemimpin parti tersebut.

"Saya kesal dengan sindrom ini apabila ada sesetengah pihak berpendapat bahawa jika seseorang ahli parti menegur dan mengkritik pemimpin akan dianggap tidak setia kepada parti.

"Malah ada juga individu yang terus melabel mereka ini sebagai pengkhianat kepada parti dan ada juga yang mengatakan mereka ini seolah-olah sebagai anjing yang menggigit kaki," katanya.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menegaskan seseorang pemimpin yang baik harus berani menyuarakan perkara yang boleh menguatkan parti dan kerajaan walaupun mungkin hilang jawatan atau kedudukan.

"Walaupun ianya kelihatan pahit untuk ditelan, pada akhirnya saya pasti ia akan menjadi ubat kepada suatu perjuangan," katanya.


Artikel Lain