suria

Ahmad Bashah Dipuji Matang Berpolitik, Berani

Ahmad Bashah (kanan) memotong rambut Pengusaha agensi pelancongan, Zainuddin Kadir,51, sebagai menunaikan nazarnya di Langkawi pada Rabu. Zainuddin menunaikan hajat itu setelah Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Kira-kira tiga minggu menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dipuji sebagai seorang pentadbir yang mempunyai kematangan politik dan keberanian.

Para penganalisis membuat kesimpulan itu berdasarkan beberapa keputusan yang dibuat beliau selepas mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada 4 Februari lepas.

Mereka berkata beliau menunjukkan kematangan apabila berjanji akan meneruskan projek dan perancangan diusahakan Mukhriz kerana beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding emosi politik.

Keberanian beliau, menurut mereka, terserlah dalam keputusannya untuk mengekalkan kesemua sembilan Exco yang berkhidmat di bawah pentadbiran Mukhriz, tidak gentar akan kemungkinan mereka tidak setia atau menyokongnya.

Ahmad Bashah lebih mementingkan kesinambungan untuk memastikan kerja pentadbiran sedia ada tidak terjejas memandangkan tempoh pentadbiran berbaki dua tahun sahaja lagi sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata Ahmad Bashah menunjukkan keberanian politik ketika sesetengah pihak masih merasa curiga dengan tahap kesetiaan Exco yang pernah rapat dengan Mukhriz.

"Begitu pun penilaian setiap tiga bulan sekali tentu saja akan menjadikan semua Exco berusaha mempamerkan prestasi terbaik, manakala lumrah politik tanah air, kesetiaan politik adalah berdasarkan kepada jawatan kerajaan," katanya.

Katanya Ahmad Bashah ketika ini perlu berhadapan cabaran untuk mengambil langkah segera bagi menjaga kesetiaan mereka yang tidak dilantik sebagai Exco khususnya mereka yang sebelum ini bersuara lantang mendesak Mukhriz berundur.

Dr Kamarul Zaman berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) seperti Datuk Ahmad Lebai Sudin (Bukit Lada) begitu lantang bersuaara mendesak Mukhriz berundur dan banyak pihak menjangkakan beliau diberikan peranan penting dalam kabinet kerajaan negeri yang baharu.

"Apabila mereka yang terkedepan sebelum ini tidak dilantik sebagai Exco maka sudah tentu penyokong mereka akan merasa kecewa, jadi adalah perlu bagi Ahmad Bashah berbuat sesuatu bagi mengelakkan mereka melarikan diri daripada beliau," katanya.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa UUM Shukri Shuib berkata, Ahmad Bashah telah meletakkan kepentingan Umno dan Kedah di hadapan berbanding soal polemik yang berlaku sebelum ini.

"Dalam politik tidak boleh tergesa-gesa, langkah memikir dan mengambil masa dalam menentukan barisan Exco adalah kaedah yang baik bagi pastikan saf kepimpinan yang terpilih boleh bantu Menteri Besar urus kerajaan negeri.

"Tindakannya (Ahmad Bashah) mengekalkan semua Exco ini memang di luar dugaan. Mungkin ada Adun yang bercita-cita menjadi Exco," katanya.

Menurutnya Menteri Besar dan kesemua Exco perlu melakukan "Le Tour de Kedah" iaitu turun padang bagi bertemu rakyat dan meninjau permasalahan mereka, selain bertemu tokoh setempat bagi merapatkan hubungan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM Prof Madya Dr Mohd Aziuddin Mohd Sani pula tidak menolak kemungkinan Ahmad Bashah akan merombak barisan Exco kemudiannya dalam tahun ini sekiranya perlu.

"Saya rasa strategi terpenting Umno ialah menyatupadukan Umno dahulu. Keputusan beliau (Ahmad Bashah) mengekalkan Exco adalah untuk redakan perbalahan.

"Matlamat beliau adalah untuk kestabilan Umno," katanya.

Apa pun keadaannya, Ahmad Bashah mahu semua pihak lupakan segala peristiwa pahit dan tumpukan kepada pentadbiran negeri demi kesejahteraan rakyat. - BERNAMA

Ahmad Bashah Md Hanipah, Umno

Artikel Lain