suria

Pemuda Umno Lapor Polis Isu Papan Tanda #BebasAnwar

PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana dipercayai membenarkan papan tanda #BebasAnwar dipamerkan di beberapa kawasan di negeri ini.

Anggota Exconya, Armand Azha Abu Hanifah, yang bertindak bagi pihak Pemuda Umno, berkata pemaparan papan tanda sedemikian secara jelas menunjukkan parti pembangkang tidak menghormati institusi mahkamah dan undang-undang, yang telah menentukan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah.

"Saya juga membuat laporan polis terhadap akhbar Selangor Kini kerana dipercayai membuat kenyataan mengelirukan bahawa Datuk Seri Anwar adalah tahanan politik namun sebaliknya kerana salah laku beliau terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Pengeluaran papan-papan tanda itu menunjukkan mereka menggunakan dana rakyat untuk kepentingan politik," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Damansara Utama di sini.

Isnin lepas, Umno Selangor membuat laporan berhubung perkara yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata kandungan papan tanda yang dipamerkan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar.

Katanya papan tanda dengan gambar bekas ketua pembangkang itu serta tulisan 'Bebas Rakyat, Bebas Anwar' itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor, antaranya Ampang Jaya, Kepong dan Rawang.

Umno, #BebasAnwar, Anwar Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain