suria

Panel Mahu SPRM Terus Siasat SRC International, Dana RM2.6 Bilion

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) diminta untuk meneruskan siasatan terhadap SRC International dan derma politik berjumlah RM2.6 bilion.

Panel Penilaian Operasi SPRM menasihatkan suruhanjaya itu mengenai isu berkenaan pada mesyuaratnya pada pagi Rabu.

"Panel Penilaian Operasi meminta kami mengeluarkan kenyataan awam mengenai perkara ini.

"Panel itu bersetuju supaya SPRM mengemukakan semula kertas siasatan mengenai SRC International kepada Peguam Negara untuk semakan," kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan.

SRC International adalah sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada Februari 2012 melalui transaksi dividen bukan tunai bernilai RM1 juta.

Suruhanjaya itu berkata berikutan siasatan kes derma RM2.6 bilion masih tidak lengkap, panel mengesyorkan agar pihaknya terus melakukan siasatan.

"Suruhanjaya itu juga akan mendapatkan bantuan Peguam Negara untuk mengeluarkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA), bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan di luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan RM2.6 bilion," katanya.

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain