suria

Pakatan Harapan Akan Terima Nasib Sama Seperti Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan tidak ubah seperti Pakatan Rakyat dan tiada jaminan ia tidak akan menerima nasib seperti bekas pakatan pembangkang sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata walaupun parti dalam gabungan Pakatan Harapan - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), cuba menunjukkan ia adalah berlainan dan lebih baik daripada Pakatan Rakyat, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Jadi, tiada jaminan Pakatan Harapan tidak akan menerima nasib sama seperti Pakatan Rakyat," kata beliau dalam catatan terbarunya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my pada Isnin.

Beliau berkata perdebatan terbuka antara DAP dan PKR mengenai penyingkiran dua wakil PKR daripada syarikat milik kerajaan Pulau Pinang membuktikan parti itu (DAP) memutuskan apa yang berlaku.

"Tapi itu bukan bahagian yang paling menarik. Ia menjadi semakin menarik apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata DAP memutuskan apa yang berlaku di negeri itu dan anggota Pakatan Harapan harus akur.

"Tidak lama dulu, Rafizi Ramli (PKR) mengumumkan Pakatan Harapan tidak lagi bergerak dengan asas setuju untuk tidak bersetuju. Ini kerana Pakatan Rakyat yang beroperasi atas asas itu, mendapati sukar setuju untuk tidak bersetuju dalam banyak perkara dan ia mengakibatkan perpecahan," katanya.

Salleh berkata sebelum ini Rafizi menyatakan untuk mengelak Pakatan Harapan menerima nasib seperti Pakatan Rakyat, kewujudan Pakatan Harapan akan berlandaskan atas asas persetujuan bersama.

Bagaimanapun, kata Salleh, apabila menyentuh mengenai Pulau Pinang, DAP tidak beroperasi atas persetujuan bersama, sebaliknya atas apa yang DAP mahu.

"Pada dasarnya, Lim Guan Eng kini berkata DAP memutuskan apa yang berlaku di Pulau Pinang dan PKR perlu mematuhi keputusan DAP. Lim Guan Eng mengingatkan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin Ali, ia sama seperti keputusan PKR menyingkirkan (Tan Sri) Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

"Lim Guan Eng secara tidak langsung mengesahkan keputusan menyingkirkan Khalid sebagai Menteri Besar adalah keputusan PKR, bukannya Pakatan Rakyat.

Jadi, ia bukan berlandaskan persetujuan bersama tetapi setuju untuk tidak bersetuju.

"Pada masa sama, DAP dan PKR mengelar PAS (anggota gabungan dalam Pakatan Rakyat) sebagai pembelot kerana tidak menyokong penyingkiran Khalid dan menggantikannya dengan (Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan kemudiannya Azmin Ali.

"Ia jelas Pakatan Harapan masih bergerak atas asas yang sama dengan Pakatan Rakyat," tambah Salleh.

Pakatan Rakyat yang diwujudkan pada 1 April 2008 selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, dan dibubarkan Jun tahun lepas apabila Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan pakatan itu tidak lagi wujud sebagai perikatan yang ditubuhkan oleh PKR, DAP dan PAS berdasarkan konsensus kerana PAS dalam Muktamar ke-61 telah 'membunuh' Pakatan Rakyat.

Lim menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas 'kematian' pakatan itu dengan berkata tindakan Presiden PAS itu serta partinya sewaktu muktamar berkenaan untuk memutuskan ikatan dengan DAP, bererti Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah dicabuli.

Artikel Lain