suria

Najib Akan Pohon Masukkan Kenyataan Menafikan Pembabitan Dalam 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan bagi memasukkan dua kenyataan yang menafikan pembabitannya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad dalam tuntutan saman yang dikemukakan terhadap Harakah dan Harakahdaily.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata kenyataan itu adalah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang menyatakan Najib tidak terlibat dalam kes salah guna berhubung 1MDB dan dana berjumlah RM2.6 bilion tiada kaitan dengan 1MDB.

"Kami diarahkan oleh perdana menteri untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan bagi memasukkan kedua-dua kenyataan itu dan mahkamah turut mengarahkan supaya permohonan tersebut difailkan secepat mungkin bagi membolehkan mahkamah mendengar permohonan itu dan memberi perintah selanjutnya," katanya kepada  pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng .

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Faiz Fadzil yang mewakili Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop, yang turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.

Mohd Hafarizam berkata Hakim Hue membayangkan harapan agar pihak-pihak terlibat boleh berbincang dan mencari jalan supaya kes saman itu dapat diselesaikan secara baik.

Katanya mahkamah menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes tersebut.

Najib memfailkan saman itu pada 18 Mac tahun lepas dengan menamakan Dr Rosli dan ketua editor Harakahdaily Taufek Yahya sebagai defendan berhubung penerbitan artikel yang ditulis oleh Rosli pada 19 Feb tahun lepas berkaitan isu 1MDB.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan bahawa beliau menyalah guna dana 1MDB.

Najib juga mendakwa Taufek gagal mengamalkan 'kewartawanan bertanggungjawab' dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulis Rosli sebelum menerbitkan artikel itu.

Perdana Menteri mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda tersendiri untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya selain mendakwa penerbitan artikel itu menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan semula artikel berkenaan.


Artikel Berikut

Artikel Lain