suria

Hati-Hati Pakej Umrah Bawah Harga RM4,900 - Nazri

PUTRAJAYA: Berhati-hati dengan pakej umrah yang kurang daripada harga lantai diluluskan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sebanyak RM4,900, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Beliau yang juga Pengerusi MKSU, berkata jumlah itu tidak munasabah untuk menampung kos penerbangan, pengangkutan dan penginapan di Tanah Suci selama 12 hari 10 malam.

Mohamed Nazri berkata kes penipuan pakej umrah semakin meningkat dan lebih menyedihkan kebanyakan mangsa penipuan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

"Saya hairan ada manusia tergamak menipu atas nama agama, menipu orang-orang kampung yang susah sampai jual tanah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Imam Kebangsaan 2016: Edisi Pelancongan Masjid, di sini Selasa.

Katanya statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dari 2012 hingga 2015 menunjukkan terdapat 3,086 kes penipuan umrah dilaporkan membabitkan kerugian RM17.5 juta, manakala tahun lepas, melibatkan 1,478 kes dengan anggaran kerugian RM6.8 juta.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melaporkan 45 kes penipuan umrah melibatkan nilai kerugian RM2.4 juta pada 2015, manakala 64 kes membabitkan kerugian RM2.2 juta direkodkan pada tahun sebelumnya, kata beliau.

Katanya kementerian pula telah mengambil tindakan terhadap 57 kes dari 2012 hingga 2015 melibatkan denda sebanyak RM237,000.

Mohamed Nazri menasihatkan mereka yang ingin menunaikan umrah supaya berurusan dengan syarikat berlesen dengan kementeriannya dan mempunyai lesen dalam bidang 'Outbound' (pengembaraan luar negara).

Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat berdaftar dan orang ramai boleh melayari laman web www.motac.gov.my atau www.jawhar.gov.my/umrah bagi menyemak status syarikat serta melihat senarai syarikat yang telah disenarai hitam.

Beliau berkata kementeriannya akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik semula lesen Outbound ke atas mana-mana syarikat pelancongan berlesen yang menyebabkan jemaah mereka terkandas selain gagal menginsuranskan jemaah.

Beliau turut memaklumkan sebuah syarikat, Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn Bhd telah ditarik balik lesen Outbound pada tahun lepas.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata lebih banyak masjid pelancongan dapat disenaraikan jika pihak masjid mengambil langkah proaktif seperti menyediakan persekitaran bersih, galeri, buku kecil sejarah masjid, cenderamata serta mengimarahkan masjid dengan kehadiran penduduk setempat.

"Ini kerana terdapat permintaan daripada pelancong untuk buat masjid pelancongan bagi melihat masjid-masjid bersejarah dan indah dari segi seni bina," katanya.

Ketika ini terdapat lebih 30 buah masjid di seluruh negara disenaraikan sebagai masjid pelancongan antaranya Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur; Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya; Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Biru di Selangor; Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal di Terengganu, katanya.


Beliau berkata beberapa masjid lain turut berpotensi dibangunkan sebagai masjid pelancongan seperti Masjid Selat di Melaka, Masjid Kota Iskandar di Johor dan Masjid Bandaraya di Sabah.

Artikel Lain