suria

Keselamatan Rakyat, Tetamu Luar Negara Sentiasa Diutamakan - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan dan keyakinan rakyat serta tetamu dari luar negara.

Najib berkata beliau juga tidak memandang ringan amaran dan nasihat negara-negara lain kepada rakyat mereka mengenai ancaman keganasan di Kuala Lumpur atau mana-mana kawasan di Malaysia.

"Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan rakyatnya dan juga tetamu kita dari luar negara, terutamanya di tempat-tempat yang dikunjungi ramai serta destinasi pelancongan.

"Negara-negara yang mempunyai maklumat mengenai ancaman keganasan di Malaysia disaran mengemukakannya kepada pihak berkuasa Malaysia dan tidak menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

"Tidak pernah kita abaikan sebarang maklumat dan risikan yang kita terima," kata Najib dalam catatan di laman Facebooknya Selasa.

Dalam catatan itu juga, Najib turut menarik perhatian tinjauan yang dilakukan beliau ke atas rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan di kawasan Bukit Bintang, semalam.

Seramai 170 anggota PDRM dan 170 anggota ATM terlibat dalam rondaan yang dijalankan selama 24 jam sehari, di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata rondaan bersama itu akan diteruskan selama mana ia dirasakan perlu.

Artikel Lain