suria

Keadaan Ustaz Kazim Stabil, Mungkin Dibenar Pulang Esok

Ustaz Kazim ketika menerima lawatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di HUSM.

KOTA BARU: Pendakwah Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan prosedur angiogram di makmal kardiologi invasif Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Ahad.

Pegawai khasnya, Rafi Rahman berkata pembuluh darah arteri jantung Mohd Kazim, 44, kembali berfungsi seperti biasa selepas menjalani rawatan yang diketuai pakar kardiologi, Prof Datuk Dr Zulkurnain Yusof.

"Syukur kerana rawatan pada pukul 9 pagi Ahad berjalan lancar dan kini beliau (Mohd Kazim) sedang berehat dan menerima rawatan susulan di unit separa kecemasan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Rafi berkata pendakwah itu mungkin akan dibawa pulang ke Ipoh, Perak esok jika keadaannya bertambah baik dan mendapat kebenaran daripada pihak HUSM.

Beliau berkata keadaan kesihatan Mohd Kazim terjejas berkemungkinan disebabkan jadual ceramahnya yang padat setiap hari di seluruh negara.

Jadual ceramah selepas ini mungkin akan diselaras semula bagi memberi ruang kepada pendakwah itu memperuntukkan sedikit masa menjaga kesihatannya, katanya.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok, 9.30 malam Jumaat lepas.-- Bernama


Kazim Elias, HUSM, angiogram

Artikel Sebelum

Artikel Lain