suria

PRN Sarawak: Adenan Umum Nama Calon BN Bulan Depan

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada Ahad berkata beliau akan mengesahkan dan mengumumkan bulan depan nama semua calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri Sarawak.

"Saya sekarang mempunyai semua nama calon dari parti-parti komponen seperti  Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

"Saya juga mempunyai senarai nama calon dari dua parti yang mesra BN iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras (Parti Tenaga Rakyat Sarawak)," kata beliau pada sidang media di sini.

Beliau sebelumnya menghadiri sesi tertutup dengan kira-kira 2,500 pengetua, guru besar, penolong kanan, pegawai pendidikan daerah dan pegawai Jabatan Pendidikan dari seluruh negeri yang menghadiri Konvensyen Pendidikan Negara 2016 bagi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini. 

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Adenan berkata beliau juga telah menangani kebanyakan kemelut yang membelenggu parti-parti komponen BN negeri kecuali beberapa masalah membabitkan  Teras dan UPP.

Beliau berkata BN optimistik dapat merampas kembali empat kerusi yang sekarang dikuasai DAP tetapi beliau tidak menyatakan nama kerusi-kerusi di kawasan bandar.

"Kami telah membuat pengiraan dan berasa optimistik," kata beliau.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada calon-calon boleh menang dari Teras dan UPP akan diminta keluar dari parti masing-masing untuk membolehkan mereka bertanding menggunakan simbol BN.

Adenan berkata beliau akan menemui Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan undangan negeri pada waktu yang sesuai.

Dalam perkembangan lain, Adenan berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai akaun facebook palsu atas namanya yang dikatakan telah dicipta oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kok Ming.

Catatan dalam Facebook itu menggunakan bahasa yang sangat kasar dikatakan dari Adenan meminta masyarakat Cina supaya kembali ke China.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini untuk saya mengambil tindakan," kata beliau.

Artikel Lain