suria

Budak 2 Tahun Lemas Di Alur Sungai

BESUT: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia setelah terjatuh di sebatang alur Sungai Kuala Besut di Kampung Jerat Cina, Kuala Besut di sini, Khamis.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, mangsa Muhammad Darwish Loqman Zaidi yang dipercayai terjatuh ketika sedang bermain berseorangan di lokasi kejadian yang terletak di tepi rumahnya.

Ketua Polis Besut Supt Khaled Che Lah memberitahu pemberita bahawa mangsa telah ditemui tidak sedarkan diri di dalam alur berkenaan oleh anggota keluarganya setelah menyedari kehilangannya.

Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri telah dihantar oleh ibunya Zainura Hamzah, 40 ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya.

Khaled berkata ketika kejadian bapa mangsa Zaidi Hashim, 42 tiada di rumah kerana berurusan di Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat kira-kirajam 10.00 malam tadi sebelum dituntut oleh anggota keluarga untuk dikebumikan pagi Jumaat.

Besut, Lemas

Artikel Sebelum

Artikel Lain