suria

Masa Panjang, Kos Tinggi Untuk Pulihkan Tanah Bauksit

KUANTAN: Proses memulihkan tanah perlombongan bauksit untuk pertanian memerlukan kerja yang banyak dan kos yang tinggi, selain tidak menjanjikan pulangan hasil yang sama seperti sebelumnya.

Profesor Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dr Jalani Sukaimi berkata tanah berkenaan perlu dikambus semula dengan tanah yang subur memandangkan 'tanah atas' iaitu bahagian atas tanah asal, telah dikorek semasa perlombongan mineral itu.

Selepas proses itu, katanya baharulah tanah itu boleh ditanam semula dengan pokok-pokok lain, namun dalam masa yang sama tanaman penutup seperti kekacang juga perlu ada bertujuan mengikat struktur tanah dan memberi baja kepadanya.

"Jika peneroka terlibat masih mahu menanam sawit juga boleh, tetapi ia perlu dirawat dahulu dan tanah antara pokok juga perlu ditanam dengan tanaman penutup bumi, selain perlu dipastikan mendapat air secukupnya.

"Pokok sawit di tanah yang subur memerlukan tempoh selama 30 bulan sebelum boleh dikutip hasilnya. Jadi untuk tanah yang sudah diganggu sifatnya, tempoh untuk berbuah mengambil masa yang lebih lama," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, Jumaat.

Menurutnya, hasil tanaman yang dituai juga mungkin lebih kurang dan tidak sama kualitinya.

Sehubungan itu, Jalani berkata pemilik tanah yang terlibat perlu mencari alternatif tanaman lain untuk ditanam di tanah mereka dan antara spesis pokok yang didapati sesuai ialah tanaman hutan.

Ketua Unit Ladang Fakulti Pertanian dan Bioteknologi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Mohd Noor Ghani bersetuju bahawa tanah perlombongan bauksit boleh dipulihkan, namun memerlukan jangka masa yang agak panjang sebelum boleh ditanam semula.

Justeru, beliau berpandangan tanah itu perlu dipulihkan segera bagi menjamin kesinambungan pendapatan peneroka terlibat untuk jangka masa panjang, memandangkan keuntungan hasil bauksit hanya bersifat sementara.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Ketua Jabatan Kejuruteraaan Geoteknik dan Infrastruktur Fakulti Kejuteraan Awam Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Muzamir Hasan berkata bekas tanah lombong bauksit bakal menjadi tanah gersang.

Ini kerana kawasan perlombongan mineral itu tidak lagi sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian mahupun penempatan berikutan sifat tanahnya yang telah diganggu.

Untuk pertanian, ia tidak boleh digunakan dalam tempoh terdekat memandangkan tanah itu tidak lagi subur dan proses pemulihan untuk mengembalikan galian atau zat mengambil masa lama.

Manakala bagi tujuan perumahan, Muzamir berkata ia turut memerlukan jangka masa panjang untuk membolehkan struktur tanah di kawasan berkenaan kembali kukuh dan benar-benar padat sebelum ia boleh dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaran Bertindak Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abdul Wahid Abdul Manaf sebelum ini dilaporkan berkata seramai 248 peneroka daripada 671 peneroka di Felda Bukit Goh, di sini terlibat dengan perlombongan bauksit, melibatkan kawasan seluas 80.9 hektar.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya kerajaan negeri melibatkan penyertaan anggota jawatankuasa dilibatkan dalam penambahbaikan prosedur operasi standard bagi menangani isu perlombongan bauksit.

Artikel Berikut

Artikel Lain