suria

Kerajaan Tolak Cadangan Kaji Undang-Undang Berkaitan Ganja

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mempertimbangkan untuk membenarkan atau mengawal selia penggunaan ganja kerana ia diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan seorang Ahli Parlimen Belia untuk menghapuskan sekatan undang-undang terhadap penggunaan ganja.

"Buat masa ini, kerajaan mengekalkan bahawa ia diklasifikasikan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Keputusan ini adalah muktamad," katanya kepada pemberita selepas menggulung sesi Parlimen Belia di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata cadangan oleh Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli, yang juga Ahli Parlimen Belia Selangor adalah pendapatnya semata-mata dan tidak sepatutnya diviralkan di laman media sosial.

"Terdapat perbezaan yang jelas antara apa yang diperkatakannya dan laporan yang disebarkan di media sosial.

"Setiap individu mempunyai pendapatnya sendiri, tapi saya meminta perkara ini tidak diputarbelitkan secara negatif di laman media sosial," katanya.

Saravanan juga berkata Malaysia sepatutnya tidak boleh dibandingkan dengan negara lain yang membenarkan penggunaan marijuana, seperti Amerika Syarikat dan Australia.

"Kami ada pendirian sendiri mengenai perkara itu dan tindakan membenarkan ganja tidak bersesuaian dengan budaya kita," katanya.

Ketika membahaskan usul untuk memperbaiki undang-undang berkaitan dadah pada sesi Parlimen Belia pada Rabu, Ridhwan mencadangkan beberapa belia tidak melihat marijuana sebagai sejenis dadah.

Beliau berkata bilangan penagih dadah dapat dikurangkan jika kerajaan mempertimbangkan untuk menyelia penggunaan ganja.


marijuana, ganja, M. Saravanan

Artikel Lain