suria

Najib Harap Malaysia Mampu Hasilkan Inovasi Seperti Apple, Tesla

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berharap Malaysia mampu menghasilkan inovasi sebagaimana yang dibangunkan oleh syarikat gergasi, Apple, dan pengeluar kereta elektrik, Tesla, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Beliau berkata banyak teknologi menarik dan canggih sedang dibangunkan oleh kedua-dua syarikat itu, yang akan membentuk masa depan dunia.

"Di Malaysia, kerajaan (juga) sentiasa menyokong usaha memulakan 'start-up' serta pusat penyelidikan berkaitan industri berteknologi tinggi dan industri pengetahuan," katanya dalam catatan terbaharunya di blog NajibRazak.com pada Khamis.

Najib, yang dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat, melawat Apple iaitu syarikat gergasi teknologi terkemuka di Cupertino, California dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Operasinya Jeff Williams.

Beliau turut mengunjungi Tesla, pengeluar kereta elektrik di Palo Alto, California, dan mendengar taklimat yang disampaikan Naib Presiden syarikat itu Diarmuid OConnell.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata antara topik yang dibincangkan ketika melawat ibu pejabat Apple ialah peranan syarikat teknologi itu dalam bidang pendidikan di Malaysia.

"Kita akan meninjau peluang untuk mengusahakan satu Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Apple di rantau Asia Pasifik di Malaysia, yang akan menumpukan kepada cara inovatif menggunakan teknologi mobil untuk merangsang pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

"Selain itu, untuk mengembangkan lagi potensi minda-minda muda Malaysia, kita juga akan meneroka peluang bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pembangunan Aplikasi Apple untuk mengenal pasti, mendidik dan melahirkan pemaju aplikasi tempatan," katanya.

Perdana menteri berkata pemaju-pemaju aplikasi tempatan akan mereka cipta aplikasi-aplikasi untuk Apple Store yang bersesuaian bagi pembelajaran dan pasaran tempatan.

Mengenai Tesla, Najib berkata beliau berpeluang memandu uji kereta elektrik terbaharu syarikat itu yang diberi nama X.

"Syarikat itu bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mempromosi kenderaan elektrik di Malaysia dengan menyediakan sekurang-kurangnya 100 unit Model S, kereta sedan elektrik premium pertama di dunia ke Malaysia.

"Kita juga adalah negara pertama di ASEAN untuk menerima kereta-kereta Tesla ini,"kata Najib.

Najib mengadakan lawatan kerja selama seminggu ke Amerika Syarikat sejak 11 Februari lepas, dan antara lain, menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California. - BERNAMA

Najib Tun Razak, Apple, Tesla

Artikel Berikut

Artikel Lain