suria

Nama Anak Panda Diketahui Akhir Mac

KUALA LUMPUR: Menamakan anak panda tidak semudah disangka, meliputi proses teliti membabitkan kerajaan kedua-dua negara.

Sebab itu kenapa anak panda gergasi yang dilahirkan di Zoo Negara pada 18 Ogos tahun lepas masih belum diberikan nama.

Bagaimanapun, kita tidak lagi perlu menunggu lebih lama.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata anak panda itu dijangka diberikan nama menjelang akhir Mac depan.

Sebanyak 15 nama telah disenarai pendek daripada 22,830 penyertaan diterima bagi pertandingan "Menamakan Anak Panda Gergasi" yang berlangsung dari 17 Nov hingga 17 Dis tahun lepas, katanya.

Beliau berkata nama berkenaan disenarai pendek selepas menjalani "analisis pakar" terhadap semua nama dicadangkan.

Wan Junaidi berkata senarai nama yang telah disenarai pendek itu, diterimanya semalam, akan diserahkan kepada pihak berkuasa China dalam beberapa hari lagi bagi mendapatkan kelulusan mereka.

"Apabila senarai nama itu dikembalikan kepada kami, kementerian saya akan memilih nama yang kami fikir nama paling baik daripada senarai yang telah diluluskan itu. Saya kemudiannya akan mencadangkannya kepada Kabinet," katanya.

Anak panda itu merupakan anak kepada pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, yang dipinjamkan kepada Malaysia oleh China pada 21 Mei 2014 bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Sebuah Perodua Myvi bernilai RM50,000 menunggu pemenang pertandingan itu.

Namun anugerah paling berharga buat pemenang pastinya kejayaan sebagai individu yang menamakan panda itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain