suria

Mayat Anak Kapal Terjatuh Ke Dalam Laut Ditemui

KUANTAN: Mayat seorang anak kapal 'FMSUV FOS LEO' yang sebelum ini dikhuatiri terjatuh di 86.8 batu nautika dari Tanjung Berhala, Kemaman, Terengganu pada Ahad lalu ditemui pagi Rabu.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Timur Datuk Mamu Said Alee berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) mayat Sudarmin Aminuddin, 31 dilaksanakan pada kedalaman 70 meter di lokasi yang sama pada pukul 3.30 pagi tadi.

"Mayat ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan oleh Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) dan berdasarkan monitor ROV, kaki mangsa berada dalam terbelit tali nilon yang mempunyai pencangkuk besi.

Kerja-kerja untuk menaikkan mayat sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi mengelak keadaan mayat tersebut daripada terjejas," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata operasi berkenaan perlu dijalankan dengan segera memandangkan keadaan laut semakin bergelora dan Kapal KM Amanah juga telah bersedia di lokasi penemuan mayat itu untuk membawa balik mayat ke pelabuhan.

Sudarmin berasal daripada Tawau, Sabah dilaporkan sedang menjalani latihan menyelamat "Fast Rescue Force" di atas kapal berkenaan sebelum terjatuh ke dalam laut pada petang Ahad lepas.

Sebaik menerima maklumat berhubung perkara itu Maritime Rescue Command Centre (MRCC) telah menghubungi Maritime Rescue Sub Centre Kuantan (MRSC) bagi memaklumkan tentang kejadian itu.

Operasi SAR telah diaktifkan pada 14 Feb 2016 pukul 3.30 petang dan Wilayah Maritim Timur (WILTIM) telah mengarahkan kapal KM Redang ke lokasi kejadian bersama tujuh penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diketuai seorang pegawai dari Tanjung Gelang, Kuantan.

Dalam masa yang sama juga pihak kapal berkenaan turut melakukan kerja mencari dan menyelamat dengan menggunakan bot keselamatan namun tidak menemui mangsa.

Dilaporkan ketika kejadian keadaan laut dengan ombak satu hingga 1.5 meter manakala tiupan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam.

Kuantan, Lemas

Artikel Berikut

Artikel Lain