suria

KPDNKK Rampas Jersi Tiruan Di Stadium Darul Aman

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 65 jersi pasukan bola sepak Kedah tiruan menggunakan jenama Warrix bernilai RM1,700 dalam satu serbuan di premis menjual jersi di Stadium Darul Aman, di sini, malam Selasa.

Ketua Penguatkuasanya Shahrudin Hamzah berkata, serbuan di 26 buah premis itu dibuat setelah syarikat Warrix Sports Co. Ltd iaitu pembuat barangan sukan rasmi persatuan bola sepak Kedah (KFA) berpangkalan di Bangkok, Thailand yang juga penaja KFA membuat aduan mengenai aktiviti menjual dan mengedar jersi dan kemeja-t disyaki palsu.

Susulan daripada itu, 30 anggota KPDNKK dikerah menyerbu premis-premis di Stadium Darul Aman dan lima individu dari lima buah premis didapati menjual jersi tiruan secara terbuka dan ditahan untuk diambil keterangan.

"Ini kes pertama melibatkan Warrix, sebab ini adalah hak intelektual mereka (Warrix) malah mereka beritahu mengalami kerugian kerana aktiviti tersebut. Kita khuatir kerugian itu akan menyebabkan Warrix berhenti menaja KFA.

Peniaga beri alasan permintaan tinggi daripada peminat bola sepak, tapi itu bukan alasan kerana salah tetap salah. Malah kita difahamkan Warrix juga menurunkan harga demi sokong industri bola sepak Kedah," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Peniaga-peniaga terbabit menjual jersi tiruan secara terbuka dan pada harga yang lebih murah iaitu RM30 berbanding original keluaran Warrix pada harga RM70.

Kesemua peniaga terbabit disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b)Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan melibatkan orang perseorangan, boleh didenda denda RM10,000 bagi setiap unit barangan dan penjara tiga tahun.

Shahrudin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti pemborong-pemborong yang terlibat dalam membuat dan mengedar jersi tiruan itu dan dipercayai ianya dibuat di negara jiran.

"Kita ambil serius perkara ini kerana ia melibatkan pelabur luar. Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam bagi membanteras aktiviti menjual jersi tiruan ini," katanya.

KPDNKK, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain