suria

Kes Saman Anwar Terhadap SPR Didengar 12 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menetapkan 12 April untuk mendengar kes saman bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei tahun lepas.

Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu semasa prosiding dalam kamar dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Natra Idris yang bertindak bagi pihak SPR, bekas pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Melissa Sasidaran mewakili Anwar.

Azizan ketika ditemui pemberita berkata kes saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Pada 6 Mei tahun lepas, Anwar, yang juga bekas anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain menuntut pampasan dan kos, Anwar turut menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.

Anwar, 69, dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada 30 April tahun lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.

Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada SPR dan Abdul Aziz, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai pengundi dan ia bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana pilihan raya umum (PRU) nanti.

Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh sebelum dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun lepas dan telah mengundi di kawasan itu pada PRU ke-13, tiga tahun lepas.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

SPR, Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain