suria

Peminjam PTPTN Boleh Rujuk AKPK

Dari kiri: Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan, Shamsul Anuar, Mohd Hanif dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir pada majlis MoU pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai masalah kewangan serius boleh hadir ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mulai Selasa untuk menstruktur semula pembayaran tunggakan pinjaman mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini merupakan satu strategi yang dilaksanakan antara PTPTN dan AKPK untuk memberi kemudahan kepada peminjam yang kurang berkemampuan agar dapat membuat bayaran balik pinjaman PTPTN berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

"Dalam situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan dan masalah kekurangan dana yang kritikal, strategi ini sangat penting untuk meningkatkan kutipan bayaran balik bagi memastikan generasi seterusnya dapat menikmati kemudahan pembiayaan yang disediakan PTPTN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan AKPK bagi penyertaan PTPTN dalam program pengurusan kredit (PPK) di sini, Isnin.

AKPK diwakili Pengerusi AKPK Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed.

Sejak 1997 sehingga 31 Disember 2015, terdapat lebih 662,000 daripada keseluruhan 2.4 juta peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan melibatkan tunggakan sebanyak RM5.4 bilion.

Antara kriteria mereka yang layak mendapatkan perkhidmatan PPK AKPK adalah mereka yang mempunyai pinjaman dengan bank dan PTPTN dengan jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta dan tidak berada di bawah tindakan undang-undang yang telah lanjut dan tidak diisytiharkan sebagai muflis.

Sejak 1997 sehingga 31 Disember lalu, PTPTN telah meluluskan lebih 2.4 juta pembiayaan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, melibatkan peruntukan sebanyak RM55.5 bilion.

Shamsul Anuar berkata menerusi kerjasama dengan AKPK ini, PTPTN menyasarkan sebanyak lima peratus daripada 2.4 juta peminjam untuk membayar semula pinjaman mereka.

"Kita berharap melalui kepakaran AKPK dalam bidang khidmat kaunseling dan nasihat itu dapat mengubah sikap peminjam tegar untuk membayar kembali pinjaman yang tertunggak", katanya.

Jelasnya, PTPTN mahu mendidik masyarakat supaya meletakkan keutamaan kepada usaha membayar pinjaman PTPTN sebelum membayar pinjaman lain termasuk perumahan, kenderaan serta pinjaman peribadi.

"Sehingga akhir tahun lalu, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diterima sebanyak RM7.1 billion melibatkan 1.2 juta peminjam daripada keseluruhan RM15.3 billion yang sepatutnya dikutip.

"Pada tahun ini pula kami menyasarkan pembayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion," katanya.

Sementara itu, Mohd Hanif berharap AKPK dapat memainkan peranannya dalam menyedarkan peminjam PTPTN bermasalah agar mereka dapat mengutamakan pembayaran balik pinjaman demi kesenangan peminjam seterusnya.

"Menerusi PPK AKPK, para kaunselor kami akan menyediakan jadual pembayaran balik pinjaman berdasarkan kemampuan peminjam dengan persetujuan PTPTN," katanya.

Beliau berkata, 140,000 peminjam daripada pihak penyedia kredit telah memasuki program PPK dan daripada jumlah itu, sebanyak 22 peratus gagal menguruskan kewangan, gagal dalam perniagaan (17%), gagal membayar kos perubatan tinggi (14%) dan penggunaan kad kredit tidak terkawal (11%).

Setakat hujung tahun lepas, hampir 400,000 rakyat negara ini tampil mendapatkan pelbagai khidmat nasihat kewangan daripada AKPK. - Bernama

PTPTN, AKPK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain