suria

Buruh Warga Indonesia Terperangkap Dalam Lumpur

MELAKA: Seorang buruh warga Indonesia yang cuba lari daripada operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka pada Selasa ini berdepan detik cemas selepas terperangkap hampir dua jam dalam lumpur di Pulau Melaka dekat Bandar Hilir di sini.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, pekerja binaan yang pada awalnya disyaki warga Bangladesh dan tiga lagi lelaki disyaki warga Bangladesh bertindak terjun ke Selat Melaka ketika jabatan berkenaan menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan hotel di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba Kubu Timbalan Penguasa Bomba Khairuddin Jamaludin berkata pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit untuk mengesan kedudukan mangsa dan mengeluarkannya daripada lumpur sedalam paras dada.

"Kami menerima panggilan kecemasan daripada Jabatan Imigresen mengenai mangsa yang terperangkap dalam selut pada pukul 10.49 pagi dan sampai di lokasi kejadian enam minit kemudian.

"Keutamaan diberikan untuk menyelamatkan lelaki itu kerana dia berada di kedudukan gigi air dan kami khuatir dia akan lemas sekiranya air pasang...agak sukar menariknya ke darat kerana sebahagian badannya berada dalam lumpur," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Khairuddin berkata enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terpaksa merangkak menggunakan kekuatan lutut dan dibantu dengan peralatan menyelamat antaranya tali, floating board dan pelampung untuk menarik lelaki berkenaan yang dipercayai mempunyai berat badan antara 90 dan 100 kilogram.

Beliau berkata tiga lagi lelaki yang turut terjun ke selat itu tidak dapat dikesan dalam operasi menyelamat yang tamat kira-kira 1 tengah hari tadi.

Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Musairi berusia 20an dari Jawa Tengah, Indonesia berkata dia melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana dokumen perjalanannya telah tamat tempoh.

"Saya masuk ke Malaysia sejak sebulan lepas melalui Johor. Ketika kejadian saya sedang bekerja di tingkat bawah sebelum menyedari ada pemeriksaan dilakukan dan terus terjun ke laut untuk melarikan diri," katanya.

Penolong Pengarah Kanan Imigresen Mohamed Lamsah Othman berkata lelaki berkenaan adalah antara 145 warga asing berusia antara 20 dan 45 tahun yang ditahan di tapak pembinaan itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita dan 68 lelaki warga Indonesia, 59 lelaki warga Bangladesh, masing-masing empat lelaki warga Pakistan dan Myanmar dan seorang lelaki warga Nepal.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati 76 daripada mereka masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah, 66 orang melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan manakala tiga orang dipercayai tinggal di negara ini setelah pas atau permit tamat tempoh," katanya.

lumpur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain