suria

Penganggur Cederakan Ibu Diperintah Ke Hospital Bahagia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini Selasa memerintahkan seorang penganggur yang didakwa menyebabkan ibunya cedera parah  di Setapak Jaya pada 8 Februari lepas agar menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali mengeluarkan perintah itu kepada Muhammad Faaris Syahiddin Ahmad, 22, selepas dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Khariah Hashim, 50, yang juga seorang guru, menggunakan sebilah pisau yang mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di No 31A Jalan Rejang 2, Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, pada 8.30 malam, 8 Februari lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Balqis Aini memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan di hospital itu bermula pada Selasa, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz supaya tertuduh dirujuk ke hospital itu untuk pemeriksaan kesihatan mental kerana tertuduh disyaki tidak sempurna akal.

Terdahulu, Muhammad Faaris Syahiddin yang memakai kemeja-t dan berkopiah hitam kelihatan terpinga-pinga dan keliru selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Balqis Aini.

Muhammad Faaris Syahiddin, yang dilihat menoleh ke kiri dan kanan ketika berada dalam kandang tertuduh hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui laporan perubatan kesihatan tertuduh.

Turut hadir ke mahkamah ialah anggota keluarga tertuduh termasuk bapanya yang dilihat mengesat air mata sepanjang prosiding berlangsung. - BERNAMA

Hospital Bahagia, penganggur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain