suria

271 Pati Didaftar Secara Dalam Talian - Imigresen

PETALING JAYA: Seramai 271 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya didaftarkan secara dalam talian pada hari pertama Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati yang bermula Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, daripada jumlah itu, seramai 245 Pati adalah warga Indonesia, lapan (Myanmar) dan 18 dari negara-negara lain.

"Daripada 271 Pati yang mendaftar, Jabatan Imigresen telah memproses sebanyak 31 permohonan.

"Seramai 23 (Pati) telah berjaya manakala baki lapan orang telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Program ini bertujuan untuk mendaftar Pati yang bekerja secara haram di Malaysia di bawah majikan yang sah. Ia dilaksanakan bermula 15 Februari sehingga 31 Disember ini secara dalam talian melalui portal www.rehiring.imi.gov.my.

Dianggarkan kira-kira dua juta pekerja asing tidak mempunyai dokumen sah di negara ini.

Dalam pada itu, Sakib sekali lagi menasihatkan orang ramai dan majikan supaya tidak berurusan dengan ejen tidak sah atau mana-mana pihak yang mendakwa boleh menguruskan Pati bagi pihak majikan untuk mengelakkan risiko ditipu ejen-ejen berkenaan.

mStar Online pada Isnin melaporkan isu majikan ditipu 'ejen' bukan perkara baharu kerana sebelum ini pernah berlaku dalam permohonan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Program Serah Diri Sukarela atau lebih dikenali sebagai program 3+1.

Menurut Sakib, kesannya kepada majikan bukan sahaja akan dikenakan caj berlebihan, malah turut berlaku penipuan lain sepanjang proses menggunakan ejen tidak dilantik itu.

Mengenai kriteria dan syarat-syarat Pati dan majikan serta maklumat pendaftaran boleh diperoleh menerusi laman web www.rehiring.imi.gov.my atau www.imi.gov.my.

Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain