Eskalator Di Seluruh Negara Akan Diperiksa - Semasa | mStar

Eskalator Di Seluruh Negara Akan Diperiksa

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA:  Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memeriksa eskalator di seluruh negara terutama di kompleks beli-belah dan pusat tumpuan orang ramai.

Dalam satu kenyataan, ia berkata langkah itu dibuat berikutan kes kemalangan eskalator di KL Sentral pada 8 Februari lepas yang menyebabkan pergelangan kaki kiri seorang kanak-kanak hancur akibat tersepit pada tangga bergerak itu.

Menurutnya, kajian menyeluruh akan dibuat ke atas ciri-ciri keselamatan eskalator termasuk aspek teknikal, penggunaan dan juga faktor manusia, susulan gesaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim tiga hari lepas.

"Dari hasil kajian tersebut, ciri-ciri keselamatan pada eskalator akan ditambah baik," kata JKKP.

JKKP akan turut mengadakan perbincangan dengan persatuan berkepentingan seperti Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) dan Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA) bagi mencari jalan untuk mengelakkan kemalangan sama berulang.

Mengenai kemalangan itu, JKKP berkata siasatan awal mendapati peranti keselamatan yang dipasang pada eskalator terbabit adalah dalam keadaan baik dan berfungsi semasa ujian dijalankan.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan pengguna, kebanyakan eskalator di Malaysia mengikut reka bentuk EN 115-1 yang memperincikan setiap keperluan termasuk berkaitan pemasangan peranti keselamatan.

"Antara lain peranti keselamatan yang wajib dipasang adalah seperti 'emergency stop button', 'yellow demarcation line on step' dan 'skirt brush' di kedua-dua belah panel," jelasnya.

JKKP juga akan menambah baik perundangan sedia ada termasuk memperketatkan ciri-ciri keselamatan dan pengurusan oleh pemilik eskalator atau pemilik premis.

Menurut JKKP, pemilik premis bertanggungjawab untuk melantik firma dan individu kompetan yang diiktiraf oleh JKKP bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan eskalator.

"Tanggungjawab pemilik adalah sentiasa memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan dan dipastikan sentiasa beroperasi dalam keadaan baik tanpa risiko kepada keselamatan," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya pengguna juga perlu berhati-hati termasuk mengawasi anak-anak yang dibawa agar sentiasa berada dalam kedudukan betul iaitu kaki berada dalam kawasan yang ditetapkan (yellow demarcation line on step) dan mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan pemilik premis.

"Sekiranya semua langkah-langkah ini dapat dipraktiskan oleh pemilik dan pengguna, kemalangan ini boleh dielakkan," katanya.

Selain itu, pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian dan diawasi dengan baik oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

JKKP akan memperhebatkan promosi dan advokasi keselamatan penggunaan eskalator termasuk melalui media massa dan kempen di pusat beli-belah.
eskalator , JKKP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain