suria

Jambatan Runtuh, Penduduk Kampung Di Pasir Gudang Terkandas

PASIR GUDANG: Penduduk di Kampung Perigi Acheh  di sini terkandas selepas jambatan konkrit yang berusia 16 tahun runtuh kira-kira pukul 2 pagi Isnin.

Runtuhan telah menyebabkan 500 penduduk kampung menghadapi masalah untuk menyeberangi Sungai Kolok memandangkan jambatan itu adalah satu-satunya laluan untuk mereka berulang-alik dari kampung.


Ketua Kampung Perigi Acheh Saad Awang berkata jambatan itu runtuh selepas paras air sungai yang semakin meningkat membawa arus deras dan mengenai sebahagian jambatan.

"Keadaan jambatan itu bertambah buruk dalam tempoh lima bulan lalu, dan penduduk kampung telah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

"Kerja pembaikan sepatutnya dilakukan selepas sambutan Tahun Baru Cina. Kami tak sangka jambatan ini akan runtuh secepat ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, Isnin.

Saad berkata keutamaan beliau adalah untuk mencari laluan alternatif kepada penduduk kampung bagi mereka meneruskan kehidupan.

"Kebanyakan penduduk di sini bekerja di kawasan perindustrian dekat sini manakala sebahagian daripada anak-anak perlu pergi ke sekolah masing-masing," katanya.

Ahli Majlis MPPG Tanjung Puteri Syahrin Md Jamaluddin berkata, anggota tentera akan membina sebuah jambatan sementara untuk penduduk kampung.

"MPPG juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya untuk membaiki jambatan runtuh itu secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, keadaan banjir di Johor semakin teruk dengan 127 mangsa banjir terkandas di empat pusat pemindahan banjir di bahagian utara negeri ini.

Tangkak merupakan kawasan banjir yang paling teruk dengan 101 mangsa daripada 27 keluarga yang kini ditempatkan di SK Sialang dan Sekolah Agama Bandar Tangkak.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sialang, Kampung Seberang Gajah, Kampung Tanjung Labuh dan Kampung Makmur.

Di Segamat, 26 mangsa daripada tujuh keluarga telah ditempatkan di Balai Raya Kampung Awat dan SK Spang Loi.

Pada Ahad, seramai 126 mangsa mendapatkan perlindungan di tiga pusat pemindahan banjir di Tangkak dan Segamat.

Artikel Lain