suria

Azalina Sokong Apandi Kaji Hukuman OSA

Datuk Seri Azalina Othman
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong cadangan Peguam Negara untuk mengkaji semula hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.


Beliau berkata kajian semula yang dicadangkan itu akan membantu menyelesaikan masalah pelanggaran undang-undang yang melibatkan maklumat sensitif kerajaan dan rahsia negara .

"Bagi saya tidak ada kebebasan mutlak, walaupun di negara-negara seperti Amerika Syarikat. Saya percaya Peguam Negara bimbang dengan kes-kes kebocoran maklumat. Walau bagaimanapun, akhirnya undang-undang itu akan dinilai oleh Parlimen," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa beliau sedang mempertimbangkan hukuman lebih berat ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.

Peguam negara dilaporkan berkata bahawa beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Mohamed Apandi berkata wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan itu.

Azalina berkata kajian ini datang tepat pada masanya kerana terdapat banyak kebocoran berlaku sejak kebelakangan ini yang melibatkan maklumat sensitif.

"Terdapat banyak perlanggaran berlaku berkaitan maklumat kerajaan. Di negara lain ia tidak berlaku, tetapi ia banyak berlaku di Malaysia," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa adalah sesuatu yang penting untuk membezakan antara komen yang adil, kebebasan bersuara, pecah amanah dan kebocoran maklumat.

Artikel Berikut

Artikel Lain