suria

Jenazah Mohd Zulkephli Selamat Dikebumi Di Muar

Jenazah Allayarham Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad untuk disolatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa sebelum dibawa pulang ke Muar,Johor untuk dikebumikan Ahad malam. Foto: Bernama

MUAR: Jenazah Duta Besar Malaysia ke Switzerland Allahyarham Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam KITA, Batu 1.5 Jalan Bakri Ahad malam.

Jenazah allahyarham, yang tiba di kampung halamannya pada 10.10 malam  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disolatkan di Surau KITA sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya Allahyarham Fatimah Abdullah pada 11.36 malam.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, selepas tiba di Anjung Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 6.30 petang tadi dari Frankfurt.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah allahyarham ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Hanif Othman.

Turut hadir bapa allahyarham, Mohd Noor Abdullah, 90.

Mohd Zulkephli, 57, yang meninggal dunia 3 Februari lalu akibat barah hati,meninggalkan isteri Datin Anna Amalina Imam Baweh dan lima anak berusia antara dua tahun hingga 25 tahun.

Allahyarham mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 1984 dan sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland, pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan pada Julai 2012.

Selain itu, Mohd Zulkephli juga pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Libya dari 2009 hingga 2011 dan terlibat secara langsung dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya.

Sementara itu, Salwa Mohd Noor, 52, berkata abangnya suka berkongsi ilmu selain memberi tunjuk ajar kepada adik beradiknya.

"Arwah turut menjadi contoh kepada keluarga yang lain terutama kepada anak saudara," katanya ketika ditemui pemberita di sini. 

Menurutnya kali terakhir beliau dan anggota keluarga lain bertemu allahyarham ialah pada Ogos tahun lepas yang ketika itu mengikuti kursus di ibu negara. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain